TEORI "RAHMAN": ANWAR IBRAHIM
JADI PERDANA MENTERI MALAYSIA MELALUI BARISAN ALTERNATIF
Ini satu cerita lama, tetapi saya perbaharui edisinya dengan menceritakan
hakikat sebenar yang tersembunyi di sebalik teori ini. Yang tersirat di sebalik
yang tersurat. Majoriti orang-orang UMNO termasuk pemimpin-pemimpin atasannya
amat percaya dengan teori "rahman". Tetapi sungguh malang sekali
tafsiran mereka salah terhadap penghujung (akhiran) kisah teori ini. Saya minta
anda mengambil sedikit masa membaca apa yang saya akan kupas di ruang yang
terhad ini.
Tulisan ini yang mengupas teori "rahman" agak panjang sedikit namun
saya mengharapkan setiap pembaca redha meluangkan masa anda membaca, meneliti serta
menghayati perincian yang saya buat untuk renungan mahupun harapan kita
bersama. Saya telah cuba untuk meringkas sependek mungkin tetapi hasilnya tetap
panjang.
Apa yang saya bentangkan di sini saya akui ianya bukanlah menjadi milik saya
maka dengan ini saya IZINKAN mana-mana pihak atau individu tertentu menyalin
semula dalam bentuk apa sekali pun. Jika anda mahu jadikan ianya sebuah buku
kecil (seperti kitab kecil Yaasin) untuk di sebar, dijual, maka silakanlah.
Jika anda mempunyai modal apa salahnya. Lakukanlah. Saya yang bodoh, miskin,
hina dan tidak mengerti apa-apa ini mendoakan semuga usaha anda berjaya, tetapi
syaratnya mestilah berharga murah yang boleh dimiliki oleh setiap orang hatta
pelajar sekolah sekali pun biarlah mampu membelinya.
Tidak perlu royalti diberikan kepada saya. Memadai pengenalan saya "Liang
Lahad" digunakan sahaja sudah memadai. Cuma hanya dua (2) permintaan saya
kepada mana-mana pihak yang mahu membuku, menerbit dan menjual artikal ini
iaitu:
Pertama: Jangan membuat pindaan pada artikal ini sehingga boleh menjejaskan
maksudnya.
Keduanya: Jika ada sedikit keuntungan hasil jualannya sumbangkanlah sedikit
kepada parti komponen BA atau membantu membayar denda para reformis OKT (orang
kena tangkap) atau OKP (orang kena pukul) yang didakwa oleh polis. Mungkin di
antara OKT, OKP yang anda bantu itu adalah diri saya.
Saudara ku yang berilmu.
Anda sebagai pembaca mesti ingat bahawa ini bukanlah satu ramalan tetapi ianya
lebih merupakan satu 'formula' seperti kebanyakan formula politik yang lain.
Kita sentiasa faham 'formula' adalah simbol yang terbaik lagi mustajab dalam
menyelesaikan apa juga masalah. Formula matematik menyelesaikan masalah
matematik, formula sains menyelesaikan masalah sains maka begitu juga formula
politik menyelesaikan masalah politik.
Apakah Teori "RAHMAN" ini?
Teori "RAHMAN" mengikut tafsiran orang UMNO adalah Tunku Abd Rahman
(R), Tun Abd Razak (A), Datuk Hussein Onn (H), Dr. Mahathir (M), (A) ..masih
kosong dan (N) ..tak tahu siapa.
Inilah andaian orang UMNO dan hari ini orang UMNO yang ada huruf "A"
atau "N" pada pangkal namanya sedang berangan-angan, kononnya ada
harapan akan jadi PM satu hari nanti.
Percayalah, Liang Lahad amat yakin sepenuhnya yang angan-angan mereka ini hanya
tinggal angan-angan. Impian tidak akan terlaksana.
Saya pernah berdebat sesama rakan dalam UMNO di PWTC lapan tahun dulu bahawa
tafsiran mereka itu salah dan mereka mempertikaikan saya. Mereka ketawa. Mereka
mempermainkan saya. Pernah saya katakan kepada mereka "Memang Anwar akan
jadi PM tetapi Anwar tidak boleh jadi PM di dalam UMNO kerana landasannya tidak
serupa." Mereka terus ketawakan kata-kata saya. Tetapi bermula September
1998 apabila Sdra Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan TPM dan Timbalan Presiden
UMNO, orang-orang yang sama berdebat itu datang berjumpa saya dan minta saya
jelaskan kembali "Teori RAHMAN" menurut pandangan saya. Lalu saya
kupaskan kepada mereka satu persatu dengan jelas dan terperinci.
Di artikal yang ringkas ini saya perturunkan tafsiran saya mengenai "Teori
RAHMAN" menurut pandangan saya untuk memperkuatkan semangat semua
rakan-rakan reformis dan seluruh rakyat Malaysia yang mahu "Tumbangkan
kezaliman tegakkan keadilan mempertahankan kebenaran" bahawa kita semakin
hampir kepada kejayaan dan kemenangan.
APAKAH TAFSIRAN SAYA? Sila ikuti selanjutnya...
Cara mereka (orang UMNO) mentafsir 'RAHMAN' menggunakan huruf-huruf roman
sedangkan 'RAHMAN' adalah bahasa Arab dan merupakan perkataan dalam Al-Quran.
Ternyata sudah bahawa orang-orang UMNO ini amat buta dalam agama. Mana bisa
satu kalimah Al-Quran bertulisan Arab diterjemah dalam tulisan rumi. Memang
manusia di dalam UMNO adalah jenis manusia yang mengabaikan Al-Quran.
"RAHMAN" bukanlah ejaannya R.A.H.M.A.N tetapi di ambil sepenuhnya
"AR-RAHMAN". Ia adalah bahasa Al-Quran, kalimah Allah swt maka
mestilah ejaan Arabnya ialah "Alif", "Lam", "Ra",
"Ha", "Mim", "Nun".
Lihat mana ada huruf "Alif" selepas "Mim". Jadi Abdullah
Ahmad Badawi janganlah berangan-angan menjadi Perdana Menteri selepas Mahathir.
Kalau pun awak jadi PM hanya seketika, kerana kamu tidak layak kerana
"Alif" lain yang lebih layak menurut tafsiran Liang Lahad. Kamu cuma
sekadar mengisi "kekosongan" sementara "Alif" lain
mempersiapkan diri menjadi PM yang sebenarnya.
Rahman bererti "Pemurah" dan sememangnya negara kita lahir dari sifat
Pemurah Allah swt. Kita menikmati kemewahan, kemakmuran, kekayaan, kekuasan
adalah disebabkan oleh sifat Rahman Allah swt kepada hambanya.
Huruf-huruf Ar-RAHMAN untuk pemimpin UMNO seperti berikut, "Alif",
"Lam" "Ra" adalah untuk dua orang Abd Rahman dan Abd Razak,
"Ha" nama Hussein dan "Mim" nama Mahathir. "Nun"
tidak ada nama bagi sesiapa pun selepas Mahathir. Kenapa pula? kerana
"Nun" ianya bermakna "NAZAK". Iaitu UMNO yang sebelum ini
diterajui oleh pemimpinnya sebagai pemerintah negara ini sudah NAZAK. Ia juga
membawa makna 'tenat'. Umno menjadi tenat dan kemudiannya UMNO akan
"MATI".
UMNO bukanlah seperti yang dislogankan oleh pengikutnya "dulu, kini dan
selamanya". Bagi hamba Allah yang memahami Tauhid dan kejadian makhluk
maka sudah cukup yakin UMNO adalah bersifat 'baharu' seperti kita juga. UMNO
bukan 'qodim'. Setiap yang bersifat baharu sudah pasti ada awal dan ada
akhirnya. Kata-kata di dalam sebuah kitab lama "Awal bermulanya kita,
TIADA, khudrat Allah swt menjadikan, ADA, tetapi akhirnya TIADA. Kita inilah
yang tiada. Maka Allah swt jualah yang ada."
Oleh itu kalimah "UMNO: Dulu, Kini dan Selamanya)" itu adalah sesuatu
tanggapan bahawa UMNO bersifat "Qodim" dan ini bertentangan dengan
ajaran Islam yang mengatakan hanya Allah swt sahaja yang bersifat Qodim.
Kalimah slogan UMNO ini sudah cukup menjadikan orang syirikkan Allah swt. Oleh
itu apabila kita berjumpa orang-orang UMNO yang mengatakan atau lekatkan
sticker "UMNO: Dulu kini dan Selamanya". Yakinlah secara tidak sedar
mereka telah mensekutukan Allah swt.
Dosa yang tidak diampunkan oleh Allah swt adalah dosa orang yang
mensyirikkanNya.
Oleh kerana UMNO bersifat 'baharu' maka dia pastinya akan musnah. Berbalik
kepada teori "rahman" ini iaitu selepas "Mim" maka
"Nun" akan menjelma yang membawa maksud NAZAK. Memandangkan keadaan
terkini, UMNO hari ini memang nyata UMNO cukup NAZAK. Maka tidak mustahil
setiap yang nazak pasti akan mati.
Habis selepas UMNO siapa pula akan ambil alih negara ini?
Ar-Rahman adalah sifat 'Pemurah' Allah swt yang Maha Agong, Maha Kaya, Maha
Bijaksana lagi Maha Perencana yang Terbaik. Atas sifat Ar-Rahman inilah maka
kita dikurniakan oleh Allah swt dengan rezki yang melimpah, kemakmuran,
kekayaan, kesenangan, kesihatan, kejayaan dan lain-lain lagi. Anugerah yang
kita terima ini disalurkan oleh Allah swt kerana tiga pemimpin yang terdahulu
yang menaburkan benih dan menanam usaha yang murni.
Tunku Abdul Rahman membuat pelantar atau 'tapak usaha' bagi penggantinya
memulakan benih-benih kemakmuran dan kejayaan. Kemudiannya Tun Abdul Razak
sebagai pengganti mengusahakan benih kejayaan atas nama pembangunan negara.
Tanah-tanah baru diteroka dan ditanam dengan berbagai tanaman 'bumi hijau',
perut bumi dikaji untuk diketahui isi khazanahnya, laut diselami untuk
menggeledah kekayaannya dan berbagai lagi. Impian Tun Razak hanya satu iaitu
supaya rakyat mendapat manfaatnya.
Ketika Datuk Hussein Onn mengambil alih teraju negara segala 'benih kejayaan'
yang ditinggalkan oleh Tun Razak belum lagi berbuah dengan lebat. Kalau ada pun
hasilnya baru sekadar berbunga dan berputik. Hasil dari 'benih kejayaan' yang
ditinggalkan oleh Tun Razak tidak sempat dipetik oleh Datuk Hussein Onn kerana
dia meletakkan jawatan akibat tekanan Timbalannya.
Ini seumpama nenek yang menanam di dusun durian. Dia dan anaknya tidak sempat
memakan dan memetik hasil tetapi sebaliknya cucunya yang akan puas memakan
buahnya, menjual berbakul-bakul dan akhirnya hidup bermewah.
Maka begitu jugalah dengan Mahathir. Dia tidak payah berusaha keras. Apabila
sahaja dia memegang teraju pemerintahan segala 'benih-benih kejayaan' yang
diusahakan oleh Tun Razak telah membuahkan hasil. Mahathir hanya memetik dan
membelanjakannya saja. Dia hanya perlu menyediakan lori. Sebab itu di zaman
Mahathir, rakyat merasa sedikit kesenangan kerana semua asas kesenangan telah
diusahakan oleh Tun Razak dahulu.
Ketika Mahathir mengambil alih kuasa, Felda mengeluarkan kelapa sawit dan
getah, Petronas semakin melimpah ditumpahi minyak, anak-anak Melayu sudah pun
pandai menulis dan membaca, kelas dewasa telah berjaya membasmi masyarakat buta
huruf, mereka yang keluar negara di zaman Tun dan Datuk Hussein mula balik
menabur bakti. Ini cukup memudahkan Mahathir mengutip hasil dan bermewah dengan
hasil itu.
Inilah sifat Rahman Allah swt yang kasih kepada kita rakyat Malaysia. Oleh itu
Mahathir jangan mendabik dada kononnya kejayaan Malaysia hari ini atas usaha
dan kegigihannya. Kemewahan Malaysia di zaman Mahathir sebenarnya adalah
ditetapkan atas perancangan Allah swt kerana usaha gigih pemimpin yang
terdahulu. Allah swt mentakdirkan "Mim" itu adalah MUNAFAAT. Dan
MUNAFAAT ini untuk rakyat MALAYSIA kerana Tunku meletakkan Islam agama rasmi
Malaysia.
Bermakna "Mim", MUNAFAAT untuk MALAYSIA, majoriti rakyatnya MUSLIM
beragam Islam yang menurut sejarah mula bertapak di MELAKA. Sejarah Islam itu
berkembang di MADINAH selepas berhijrah dari MEKAH yang dibawa oleh Nabi
MUHAMMAD saw. Lihatlah betapa banyaknya huruf "Mim" pada perkataan
yang dinyatakan di atas. Inilah betul-betul RAHMAT Allah swt yang mentakdirkan
untuk kita. Kejayaan kita bukan kerana Mahathir tetapi kerana adanya RAHMAT
Allah swt.
Kita kembali kepada 'Teori Rahman' selepas "Mim" akan berganti oleh
"Nun". NAZAK. UMNO menjadi NAZAK selepas Mahathir jatuh atau
dijatuhkan. Sudah jelas sekarang pengganti Mahathir bukanlah mampu dibawa oleh
orang di dalam UMNO lagi. Kenapa pula?
Teori RAHMAN sudah berakhir selepas Mahathir. Oleh itu siapa pula yang
mengambil alih teraju negara? Mari kita kembali kepada perkataan yang teratas
sekali di dalam Kitab Suci Al-Quran Nul Karim iaitu
"BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM". 'Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Mengasihani'.
Seperti yang saya nyatakan di artikal saya sebelum ini di laman-laman web pro
reformasi bahawa abad ini adalah abab kebangkitan Islam sedunia dan rantau Asia
Tenggara. Ini bermaksud abad ini adalah zaman orang MUKMIN mentadbir negara
dengan penuh adil dan kasih sayang kerana orang Mukmin sentiasa taat kepada
perintah Allah swt dan akan berusaha menjadikan dirinya hamba Allah.
Kasih sayang adalah sifat AR-RAHIM Allah swt seperti yang dilafazkan di hujung
kalimah Bismillah...
Kalimah AR-RAHIM bermula dengan huruf "Alif". Ini membawa maksud
selepas Teori Rahman iaitu berakhirnya Mahathir, UMNO mati. Nazak dan Noktah
"Nun".
AR-RAHIM pula muncul. Rakyat bangun menuntut dilaksanakan "Alif"
petama iaitu ISLAH (reformasi). Mereka mahukan kerajaan yang adil yang IHSAN
kepada rakyat. Negara yang AMAN pemimpin yang IKHLAS.
Kemudian keseluruhan rakyat mahukan ISLAM ditegakkan kerana ISLAM adalah agama
ALLAH bagi orang yang berIMAN.
Cuba lihat betapa banyak "Alif" yang muncul pada maksud kalimah
AR-RAHIM ini. Antaranya ialah ISLAH, IHSAN, AMAN, IKHLAS, ISLAM, ALLAH dan
IMAN. Inilah tuntutan kehendak rakyat Malaysia kepada pemimpin pengganti
selepas Mahathir nanti.
Kalau kita lihat kepada tuntutan-tuntutan ini maka nama seperti Abdullah Badawi
tidak mampu memikul apatah lagi melaksanakan tuntutan rakyat ini. Walau pun
Abdullah Badawi juga mempunyai "Alif" (jika betul Alif) pada namanya
tetapi "Alif" yang dia miliki tidak berupaya membawa kehendak rakyat
Malaysia. Itulah sebabnya di awal tadi telah saya nyatakan bahawa Abdullah
Badawi kalau pun menjadi pengganti Mahathir tetapi duduknya hanya seketika.
Lagipun Abdullah bukan "Alif" mungkin dia "A'in".
Maka kalau Abdullah naik pun dia hanya duduk sementara menunggu
"Alif" yang sebenar mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin yang
sebenar-benarnya, yang menjadi pemimpin atas Izin, keHendak dan Redha Allah
swt. Abdullah Badawi akan akan duduk sementara kerana dialah yang akan
menguruskan pengkebumian UMNO yang kini Nazak.
Jadi kalau bukan Abdullah Badawi maka "Alif" mana pula yang
sebenarnya? Mari kita kembali lagi sekali kepada "Bismillahirrahmanirrahim".
Berapa "Alif" yang ada dalam kalimah ini? Ada tiga (3)
"Alif" bukan?
Kalau ada tiga "Alif" bermakna untuk tiga orang. Orang yang pertama
Abdullah Badawi (kalau dia Alif lah: Alif pada namanya masih samar) hanya duduk
sementara UMNO dikebumikan. Selepas UMNO dikuburkan oleh Abdullah Badawi maka
Abdullah Badawi sendiri akan diturunkan dari kerusi Perdana Menteri. Selepas
Abdullah Badawi diturunkan maka "Alif" kedua pula akan naik.
"Alif kedua ini juga masih samar antara Alif dan 'Ain. Tapi tidak mengapa
kerana dia juga bersifat sementara kerana "Alif" ke 3 iaitu
"Alif" yang sebenar-benarnya masih di dalam proses untuk
penyempurnaan haq.
Anda tentu bertanya siapakah "Alif" kedua itu? Maka jangan marahkan
saya kalau saya katakan "Alif" kedua itu adalah AZIZAH. (Telahan saya
berasaskan ejaan jawi Wan Azizah bermula Alif bukan "'Ain" yang dieja
ruminya A'zizah).
Azizah juga naik menjadi PM hanya untuk sementara iaitu untuk menunggu selesai
proses pilihanraya kecil salah satu kerusi parlimen yang dikosongkan untuk
ANWAR IBRAHIM (ada dua "Alif" untuk Anwar dan Ibrahim). Selepas dua
"Alif" ini ANWAR IBRAHIM menang mudah pilihanraya kecil parlimen maka
berlakulah pertukaran kuasa yang sebenarnya.
"Alif" inilah yang mampu membawa Malaysia ke era yang lebih gemilang
yang berteraskan kepada pedoman Al-Quran untuk memberikan kasih sayang
(AR-RAHIM) kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum atas tuntutan
ISLAH, IHSAN, AMAN, IKHLAS, ISLAM, ALLAH dan IMAN. Lihat semuanya
"Alif".
Maka itulah ANWAR IBRAHIM merasakan penderitaan, penyiksaan, kezaliman, aib dan
maruahnya dijatuhkan sebegitu hebat kerana ketika pelaksanaan Teori AR-RAHMAN
semua perkara yang melibatkan kasih sayang (AR-RAHIM) diabaikan oleh Mahathir.
Semuga apabila ANWAR IBRAHIM (dua Alif) menerajukan negara ini nanti,
INSYAALLAH, semua yang telah menyimpang jauh dari kasih sayang Ar-Rahim akan
diperbetulkan termasuklah dalam semua bidang dan institusi kerajaan yang kini
dilacur dan diperkosakan oleh Mahathir.
Betapa institusi ini dilacur dan diperkosa oleh Mahathir, ANWAR IBRAHIM telah
melihat sendiri dengan matanya, merasai perit dengan tubuhnya, memegang dengan
tangannya, melangkah dengan kakinya, mendengar dengan telinganya, berbicara
dengan lidahnya dan menghidu dengan hidungnya. Semuanya ini memerlukan ISLAH
yang besar dan saya yakin ANWAR IBRAHIM mampu melaksanakannya di bawah payung
BA (Barisan Alternatif). Alif juga.
Tanda-tanda nilai-nilai AR-RAHIM, kasih sayang dan perpaduan antara kaum di
negara ini telah berbuah di dalam Barisan Alternatif sekarang. Walaupun UMNO
cuba merosakkan nilai kasih sayang ini dengan berbagai cara namun ianya tetap
gagal dan akan terus gagal.
Kasih sayang dan perpaduan hanya akan wujud dilaksanakan di dalam Barisan
Alternatif (BA). Mereka boleh laksanakan kasih sayang itu kerana mereka bukan
berfahaman perkauman. Kalau kita kaji semula, berani saya mengatakan bahawa
dalam parti-parti komponen Barisan Alternatif (BA) seperti PAS, keADILan, DAP
serta PRM tidak satu pun parti-parti itu berfahaman perkauman. Semua parti-parti
ini mempunyai ahli-ahli dari berbagai kaum. Tidak seperti UMNO dengan
Melayunya, MCA dengan Cinanya dan MIC dengan Indianya.
Saya berdoa ke hadrat Allah swt dengan berkat kekasihnya Nabi Muhammad saw agar
menjadikan negara ini dipimpin oleh seorang manusia yang bersifat insan penuh
kasih sayang, taat kepada perintahNya, taqwa pada Allah swt. Pemimpin yang
penuh tawaduk, zuhud dan mementingkan kehendak rakyat lebih dari kepentingan
dirinya sendiri. Amin.
Sekian saya mengupas Teori Rahman yang sentiasa menjadi bualan dan panduan
orang-orang UMNO hingga hari ini.
"KEMBALIKAN HAK KEPADA YANG BERHAK"
"ANWAR IBRAHIM: ADA HAQ PADA PERJUANGAN MU"
LIANG LAHAD
22 Januari 2001